Monday, August 31, 2009

TAK NAK PAHALA KER ???

Petang kelmarin aku singgah di sebuah masjid nak solat Asar. Masa tu baru lepas hujan. Risau pula nak tinggalkan kamera dalam kereta. Maklumlah..pencuri zaman sekarang dah tak kira masjid ker tidak. Besi pagar kubur pun hilang. So..aku pun galas kamera masuk dalam ruang solat.

Tak semena-mena muncul seorang lelaki. Rasanya macam orang tempatan kat sekitar masjid tu.... belum sempat aku solat..dia suruh aku ambik gambar bumbung masjid yang bocor, karpet yang rosak. air yang bertakung, longkang yang tersumbat..Ambik biar terang. Gambar biar banyak posisi...dia memberi arahan. Aku senyum jer...


Tapi lepas solat aku tengok dia masih tercongok kat serambi masjid. Memang dia nak sangat suruh aku ambik gambar. Dia ingat aku ni wartawan suratkhabar. Dia nak semua cerita tu masuk surat khabar. Biar semua orang tahu...


Aku tinjau keliling masjid. Aku tengok ada banyak pasir dalam longkang..sebab tu air melimpah. Bumbung pula bocor kena hempap buah kelapa. Tak kan itu pun nak masuk suratkhabar. Sebenarnya inilah peluang untuk kita buat pahala. Apa salahnya..kita cuci longkang sampai bersih. Biar air deras mengalir. Pokok kelapa tu ..kita tebang saja kalau susah nak jaga. Bumbung tu kita baiki lahh...ini kan masjid kita.....


Kalau semua kita nak orang lain buat...kita nak buat apa??? Tak nak pahala ker ???


Wallahua'lam..

Saturday, August 29, 2009

Beberapa tahun dulu..aku pernah terlibat hasilkan satu dokumentari ringkas. Dokumentari ini berkisar tentang keinginan seorang warga emas memahami logo kualiti yang dilihatnya di beberapa tempat. Dokumentari ini telah ditayangkan di Hotel Ms Garden, Kuantan pada tahun 2007.

Apa yang menarik..bukan dokumentari tu..tapi...warga emas dalam dokumentari itu. Masa pengambaran tu..kami memerlukan seorang pelakun warga emas. Merata kami cari..tak ada yang mau. Masing-masing rasa segan..
Syukurlah...tetiba aku teringat seseorang dan terus call. Masa tu..dia tengah menoreh. Bila aku ceritakan masalah kami dan kesukaran mendapatkan pelakun untuk dokumentari ini...dia dengan senang hati menghulurkan bantuan tanpa meminta apa-apa balasan.
Moral cerita aku kali ni ialah..sentiasalah memberi kelapangan kepada orang lain dan jangan sentiasa mengharapkan balasan. Lebih-lebih lagi..jangan mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain. Terima kasih Pak Ndak..

SI BUTA MELIHAT GAJAH..

Masa sekolah rendah dulu, aku paling suka baca buku cerita. Antara cerita paling menarik ialah si buta melihat gajah. Konon cerita..ada beberapa orang pemuda yang buta berbincang sesama mereka tentang fizikal gajah. Ada yang kata gajah itu begini..ada yang kata begitu. Disebabkan mereka tidak sependapat tentang fizikal sebenar gajah..mereka pun merancang untuk pergi ke kandang gajah dan menyentuh sendiri fizikal gajah supaya pemahaman mereka tentang gajah akan jadi lebih jelas.

Esoknya, kumpulan si buta tadi telah pergi ke kandang gajah. Setelah mendapat keizinan, mereka pun masuki ke kandang dan menyentuh sendiri fizikal gajah tersebut. Di antara pandangan mereka ialah :

Sibuta 1 : Ohhh...gajah ini rupanya seperti tiang..[ sambil memegang kaki gajah ]

Sibuta 2 : Bukan..gajah ini seperti lantai rumah..[ sambil memegang perut gajah ]

Sibuta 3 : Salah tu...gajah ini seperti tali..[ sambil memegang ekor gajah ]

Sibuta 4 : Ehhh..gajah ni seperti tombak lahh ..[ sambil memegang gading gajah ]

Sibuta 5 : Gajah ini seperti kipas yang besar...[ sambil memegang telinga gajah ]

Sibuta 6 : Saya rasa semua tu betul...tapi kita mesti gabungkan ke semuanya supaya kita membentuk fizikal gajah yang sebenarnya...

Cuba anda bayangkan..jika digabungkan keseluruhan tanggapan sibuta tadi...tiang, lantai, tali, tombak, kipas...adakah ianya membentuk fizikal seekor gajah ??? Sudah tentu tidak ..Jawapannya kerana kumpulan si buta tadi tidak melihat fizikal gajah secara keseluruhannya. Mereka hanya melihat [ dgn deria sentuh] bahagian-bahagian tertentu sahaja. Hasilnya, mereka mendapat gambaran yang salah tentang fizikal sebenar gajah.
Nah..Begitu juga halnya dengan agama Islam yang suci...kebanyakan kita termasuk saya hanya melihat Islam dari beberapa sudut tertentu. Malahan, Islam itu merupakan Ad Deen [ Cara Hidup ]. Semua peraturan hidup dari sekecil-kecil perkara hingga kesebesar-besar perkara dinyatakan dengan jelas dalam Islam. Cuma kita yang jarang ambil peduli. Justeru...melihat Islam dari sudut-sudut tertentu sahaja...kita tidak dapat melihat kesempurnaan Islam sebenarnya.
Firman Allah SWT yang maksudnya :
"...berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah [ Islam ] dan janganlah kamu bercerai berai. Dan masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya..."

Friday, August 28, 2009

..PELUANG KEEMASAN..

Daripada Hazrat Abu Hurairah R.A..Rasulullah SAW bersabda :

"Tidaklah berkumpul orang di salah satu rumah-rumah Allah SWT [ masjid ], membaca Al Qur'an dan membaca seorang daripada mereka kepada yang lain melainkan diturunkan 'sakinah' ke atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah SWT menyebut-nyebut nama mereka di kalangan malaikat yang berada di sisiNya.

[ Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud ]

Wednesday, August 26, 2009

JALAN SEMALAM..

Semalam..
Ku lalui jalan-jalan berlopak
Dalam gelap pekat
Terleka mengejar kelip-kelip berterbangan
Sehingga jauh tersesat
Tertusuk duri....
..tiada pedoman
Terlihat parut semalam
Terasa bodoh
Mengejar keindahan sementara
Berjalan tanpa cahaya
..Membuang usia..

NAPER ORANG SOMBONG ???

Kenapa orang jadi sombong ??? Meninggi diri..rasa megah tak tentu pasal. Lalu terpancarlah kesombongan itu pada cahaya wajah, tutur kata, gaya, pertuturan dan seluruh tingkah.

Sebenarnya, kelazimannya orang jadi sombong kerana dia rasa ada kelebihan berbanding orang lain. Tak kiralah..kelebihan itu dari segi harta, rupa paras, wang ringgit, suara, pangkat darjat, kedudukan, ilmu, kelulusan, kebolehan dan macam-macam lagi. Mereka rasa tarafnya jauh lebih hebat dari orang lain. Orang lain semuanya rendah, lekeh dan tidak sepadan dengan mereka.

Mudah sungguh mereka terlupa, kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Apa yang kita miliki hanyalah pinjaman dari Allah SWT semata-mata. Entah esok atau lusa..Allah SWT akan ambil semula apa yang dipinjamkan itu...dan kita hanya sebatang kara. Segalanya milik Allah SWT. Malah udara yang kita sedut setiap ketika ini pun milik Allah SWT. Bayangkan..kalau secara tiba-tiba kita tidak boleh menyedut udara Allah SWT..apa yang berlaku pada kita. Adakah segala yang kita megah dan sombongkan itu dapat membantu kita ?

Justeru..JANGAN SOMBONG..biar apa pun posisi kita. Segalanya hanya sementara. Kebesaran dan kemegahan itu bukan milik kita. Tetapi..MILIK ALLAH SWT yang maha agung. Tapi ada juga ..orang yang tak punya apa-apa..tapi sombong. Tak tau apa yang dibanggakannya...
Orang yang sombong tidak akan diajak berbicara dengan Allah SWT pada hari kiamat.

Bayangkanlah..betapa ruginya kita, jika Allah SWT yang maha agung membenci kita. Apalah ertinya harta bertimbun, ijazah bersusun, suara memukau, rupa paras menawan...jika semuanya menjauhkan kita dari rahmat Allah SWT.

Wallah hua'lam

Friday, August 21, 2009

TARAWIH EMPUNYA CERITA...

Malam ni malam pertama Tarawih. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama ....diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan. Ramai orang tahu...sebab sehari dua sebelum Ramadhan..tuan guru baca kitab. Ramai lagi yang tak tahu...sebab tak datang mengaji...dan ramai sangat yang tak nak ambil tahu...sebab dia kata tak puas enjoy lagi..


Kat tempat aku...penuh masjid. Melimpah ruah ruang solat lelaki dan perempuan. Tapi bila habis lapan rakaat...tinggal separuh jerr...Tak apalah..sekurang-kurangnya dorang datang juga mengimarahkan masjid..menghayati Ramadhan.

Tarawih sekarang bukan macam masa aku budak budak dulu...baca ayat lazim..pendek-pendek. Sekarang kebanyakan masjid dah pakai imam import. Hafiz Quran...baca pun macam imam timur tengah.... Said Ghamdi, Abd Rahman Sudais Abd Rahman Huzaifi dan macam-macam lagi. Ini perkembangan yang bagus....

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat kita manafaatkan sepenuhnya. Biar lebih baik dari tahun - tahun dulu. Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk solat Tarawih setiap malam...dan...semoga amalan kita diterima. Tak kiralah lapan ker dua puluh ...yang penting...jangan biarkan Ramadhan berlalu begitu saja...rugi sangatttttt !!!

KEISTIMEWAAN RAMADHAN

Hazrat Salman R.A berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda kepada kami, pada hari terakhir dari bulan Syaaban :

Wahai manusia..telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam [ Lailatul Qadr ] yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya [ bertarawih ] sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah SWT padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan- bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.

Wednesday, August 19, 2009

CERITA MASA LALU

Cepatnya masa berlalu..
tanpa sedar kita telah hampir sampai ke penghujung usia.
Rasanya seperti baru semalam kita bermain..
berkejaran..sambil bercerita.
Masih terngiang gelak tawa masa kita bergurau senda..
dan pohon rendang ini pun masih ada...
Esok..belum pasti untuk kita...
kita pun telah lama bermain dan bercerita...
telah jenuh gelak ketawa...
dan pohon rendang ini pun telah semakin tua...
Apakah kita masih mahu menunggu lusa..
Untuk menjadi hamba Allah yang lebih dewasa..
Yang insaf terhadap hakikat kejadian
Dan sujud memohon kerahmatan
..dan pohon rendang pun telah tiada..

PERSAUDARAAN ISLAM

Maahad Tahfiz Al Qur'an Lorong Aliff, Jitra, Kedah merupakan sebuah institusi pengajian Al Qur'an yang ditubuhkan lebih 17 tahun yang lalu. Bermula dengan beberapa orang pelajar dan seorang guru [ Hafiz Khalid ], madrasah ini kemudiannya berkembang dan menghasilkan ratusan hafiz dan hafizah. Madrasah ini juga telah membuka cawangannya di Langgar, Kuala Ketil dan Sarawak.
Apa yang membanggakan ialah, madrasah ini mempunyai pelajar dan guru dari pelbagai negara. Antaranya, Australia, German, Amerika, Thailand, Indonesia, Perancis, Filipina, Cambodia, Palestine dan lain-lain lagi. Apabila berada di madrasah ini, kita akan dapat merasakan persaudaraan Islam itu amat rapat.
Selain menyediakan khidmat guru dari luar negara, madrasah ini juga dinaungi oleh Yang Berbahagia Dato' Paduka Syeikh Hasbullah bin Haji Abdul Halim mantan Mufti Negeri Kedah Darulaman.

AYAM OH AYAM...

Bulan April yang lalu..aku ditugaskan ke Sarawak. Sebenarnya, aku pernah bertugas di Sarawak dari tahun 1989 hingga 1994. Tapi inilah kali pertama aku sampai di Pasar hasil Hutan Betong.
Terlalu banyak pengalaman yang menarik untuk diceritakan , tapi untuk kali ini aku ingin bercerita tentang "manok tuai" atau ayam kampung.

Paling istimewa ialah cara masyarakat di sini memasarkan ayam kampung. Ayam terlebih dulu dibersihkan, kemudian dibungkus dengan kemas. Hairannya, ayam ni pula..tak menggelupur. Relax jerr..atas meja. Meja pula bersih...jika dibandingkan dengan pasar ayam kat tempat kita.

Bukan nak burukkan tempat kita..sekurang-kurangnya, kita kena cari alternatif supaya kebersihan dapat dipertingkatkan. Apatah lagi.... Islam amat mementingkan kebersihan..sehinggakan Rasulullah SAW pernah menyebut.."kebersihan itu sebahagian daripada iman"

Wallahua'lam..

Tuesday, August 18, 2009

DARI CERMIN SISI...

Masa paling bahagia..ialah masa bersama keluarga tercinta. Kalau boleh biar berkumpul satu generasi. Biar habis nasi sekawah...gulai seperiuk besar....... ayam sereban digoreng kunyit...ulam secekak...
Makan minum sambil bercerita tentang suka dan duka. Kita kongsi bersama...sementara kesempatan berkumpul masih ada. Esok-esok belum tau...
Doa dan harapan..agar kita dapat berkumpul lagi dengan rahmat Allah SWT di akhirat kelak ...dengan hidangan lebih lazat..kegembiraan yang maha hebat... AMIN

MARHABAN YA RAMADHAN

Beberapa hari saja lagi, seluruh umat Islam akan menyambut kehadiran Ramadhan Al Mubarak. Inilah bulan yang penuh dengan kerahmatan. Mudah-mudahan kita dipanjangkan usia serta diberi kekuatan untuk meningkatkan ketaatan ke hadrat Allah SWT.
Semoga setiap saat dalam bulan ini dapat kita penuhi dengan amalan baik. Setidak-tidaknya, penghayatan Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari tahun lepas.
InsyaAllah


APA TUJUAN ILMU ?

Kerapkali kita menilai sesorang itu sebagai "orang berilmu" melalui kelulusannya. Si pulan itu punya degree...si pulan itu belajar di oversea...si pulan pula itu cuma bersekolah atap. Semakin tinggi kelulusannya, semakin tinggi pula penarafan kita terhadap keilmuannya. Bagi yang tidak mempunyai sebarang kelulusan, mereka dilihat sebagai orang yang tidak berilmu.

Pernahkah kita terfikir, APA TUJUAN ILMU ? Syeikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Rahmatullah Alaihi dalam kitabnya Fadhilat Tabligh, menukilkan kupasan daripada hadis Nabi SAW bahawa tujuan sebenar ilmu adalah untuk "membezakan yang mana satu perintah Allah SWT dan yang mana satu pula larangan Allah SWT". Maksudnya, jika setebal manapun ijazah yang kita miliki..tetapi kita tidak mengenal perintah dan larangan Allah SWT...kita sebenarnya termasuk golongan orang-orang yang jahil.

Seperkara lagi, orang yang mempunyai ilmu TETAPI tidak beramal dengan ilmu tersebut dianggap sebagai mempunyai maklumat semata-mata. Malah Allah SWT mencela sekeras-kerasnya golongan ini melalui firmannya dalam Surah As Saff [ barisan ] ayat yang ke dua :

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu memperkatakan [ sesuatu perkara yang baik ] tetapi kamu tidak beramal dengannya. Sesungguhnya amat besar kebenciannya disisi Allah SWT".

Wallahua'lam

Sunday, August 16, 2009

YANG BAIK BIARLAH BERKAT..

Pada 10 - 16 Julai 09 yang lalu, aku telah diamanahkan untuk membuat liputan MASKOM Langkawi Extreme Challenge. Antara aktiviti yang diadakan ialah berkayak mengelilingi Pulau Langkawi, Kayuhan basikal, Projek Anak Angkat, Pameran dan Kursus Pendek. Lebih 180 orang peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi terlibat dalam program ini.
Apa yang menarik perhatian aku ialah, kesungguhan para peserta menamatkan kayuhan. Menempuh ribut dan gelombang. Tapi kerana minat dan kecintaan terhadap sukan ini mereka sanggup bersusah payah sekalipun terpaksa berdepan risiko.
Sebenarnya bersukan memang amalan yang baik dan digalakkan..tetapi jangan sampai melalaikan kita dari mengingati Allah SWT. Apapun yang kita lakukan, matlamat utama kita mestilah ke arah mencari keredzaan Allah SWT. Jika ini menjadi keutamaan kita, InsyaAlah keseluruhan organisasi kita akan diberkati.

Saturday, August 15, 2009

INGIN CEMERLANG ???

Seorang rakan mengirim email mempelawa aku untuk join kursus "CEMERLANG DI TEMPAT KERJA". Dia turut memaklumkan, peserta kursus akan didedahkan dengan pelbagai tips untuk menjadi pekerja cemerlang...dan lagi dia kata...ramai yang ikut kursus ini dah naik pangkat..lantaran kecemerlangan hasil kursus ini. Terima kasihlah atas pelawaan.
Ada pula rakan yang lain menelefon aku bertanya kalau aku tahu tentang guru tuisyen yang bagus untuk anaknya. Dia mahu anak dia dapat semua A one. Biar anak dia paling cemerlang di sekolah.
Itu pun satu usaha yang bagus..
Tapi...berapa ramai di antara kita yang pernah terfikir untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang. Pada hal..inilah matlamat sebenar kehidupan kita. Apa usaha gigih kita untuk memastikan kecemerlangan kita di sisi Allah SWT ? Bagaimana kita mengusahakan kecemerlangan agama dalam diri setiap ahli keluarga kita. Di dalam kitab Hayatus Sahabah diceritakan dengan jelas kesungguhan setiap daripada para sahabat R.A mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan segala kepayahan dan penderitaan. Justeru keinginan mereka untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang. Tidak hairanlah jika para sahabat RA disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai bintang-bintang dilangit, garam dalam makanan dan sebagai Al Qura'n yang merayap di mukabumi. Mudah-mudahan kehadiran Ramadhan kali ini dapat kita manafaatkan sepenuhnya untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang. Amin

Wednesday, August 12, 2009

APA MAKSUD BERJAYA ?

Masa aku kecik-kecik dulu, emak ayah buat bendang..masa tu tak ada mesin padi lagi. Bila musim mengerat [ menuai ]..suasana cukup meriah. Orang Pattani datang ambik upah mengerat dan memukoi. Tidur pernah ruang tamu rumah aku..
Lepas kerja mengerat dan memukoi selesai, emak ayah mula menghitung hasil tuaian. Kalau serelung dapat sampai 20 guni..kira berjayalah emak ngan ayah. Tersenyum lebarlah..dan aku pun tahu...begitu rupanya kejayaan.
Dalam kampung aku ada budak dapat masuk U. Masa tu tak ramai dapat masuk U. PJJ tak ada lagi. Semua orang bercakap pasal budak yang satu ni. Orang kata dia berjaya. Emak bapa dia pun orang kata berjaya didik dia. Aku pun mulai faham...ini pun kejayaan juga.
Sekitar tahun 70an..ada cerita bayi kembar siam. Kira pelik lah...lahir melekat. Heboh dalam akhbar dan telivisyen...doktor pakar berjaya pisahkan mereka. Wahh..banyak macam rupanya kejayaan ni..
Tapi bila aku dah tua ni...aku mempunyai persepsi berbeza terhadap kejayaan. Budak yang dulunya berjaya masuk U..yang orang kampung bangga...kononnya itulah kejayaan...dah kena tangkap. Pecah amanah...semua orang kata emak bapa dia gagal didik dia. Itu lah...ini lah...macam-macam. Rupanya kejayaan itu tak konstan.
Ustaz kat masjid aku baca kitab...dia kata apabila Saidina Hamzah hampir mati akibat ditikam dengan lembing oleh kafir Quraish...dia sempat berkata, "Demi Allah..aku sudah berjaya". Malah banyak cerita berkaitan sahabat Nabi SAW seperti itu.
Rupanya..jawapan yang aku cari selama berpuluh tahun ini terkandung dalam laungan azan. "Marilah sembahyang...Marilah menuju kejayaan". Maksudnya.
."KEJAYAAN YANG SEBENARNYA DI DUNIA DAN DIAKHIRAT ADALAH BERGANTUNG KEPADA SEJAUH MANA KITA DAPAT MENTAATI PERINTAH DAN LARANGAN ALLAH SWT MENGIKUT CARA YANG DITUNJUKKAN OLEH RASULULLAH SAW".
Justeru, faham terhadap maksud kejayaan yang hakiki inilah...maka para sahabat R.A cuba meniru keseluruhan daripada kehidupan nabi SAW. Bayangkan..betapa jauhnya amalan kita dengan takrifan kejayaan yang sebenar...Wallah hua'lam

Tuesday, August 11, 2009

KASUT DAN KAKI..

Balik petang kelmarin, aku singgah kedai kasut. Nak beli kapur kasut jaaa. Tapi promoter tu ingat aku nak beli kasut. Tak sempat nak bagi penjelasan dia promote satu kasut. Kononnya akulah orang yang paling beruntung kalau beli kasut tu. Dah la canggih..menawan...murah pula tu..dan lagi dia kata cuma tinggal satu tu sajalah kasut jenis macam tu. Laku sungguh sampai habis stok. Kat kedai lain pun tak ada. Dia lah pengedar tunggal..

Nampak sangatlah betapa beruntungnya aku kalau beli kasut tu. Tapi kalau aku tak beli...rasanya aku tak rugi...TAPI YANG JELAS...dia memang tak untung. Jadi aku pun..betulkan semula niat aku..nak beli kapur kasut jerrr..
Teringat kata-kata hikmat pasal kasut ni :
""Aku menangis kerana tidak berkasut
SEHINGGALAH
Aku melihat orang yang tidak berkaki"

KENAPA AKU MENULIS BLOG ?

Ada kawan tanya...kenapa tulis blog ? Tak ada kerja ka ? Layan perasaan kaa...bla..bla..bla. Aku tak kata apa..sebab dalam soalan dia dah ada jawapan yang dia nak. Dia tanya dan dia jawab..kira ok laaa..sebab aku tak payah cari jawapan.
Sebenarnya, aku mula terdedah pada penulisan apabila mengikuti kursus penulisan kreatif pada tahun 1984 di Dewan Perniagaan Melayu di Alor Setar. Minat ini disuburkan lagi pabila aku join Kelab Penulisan Kreatif di MPSAH [ sekarang IPSAH ] tahun 1987. Melalui kelab ini jugalah aku bertemu jodoh dengan isteri aku yang tercinta.
So..aku tulis blog ni kerana aku memang suka menulis. Sekurang-kurangnya ada tempat aku meluahkan isi hati. Walaupun cara penulisan aku tak berapa bagus...tapi aku puas kerana apa yang terlintas difikiran aku dapat aku rakamkan dalam bentuk penulisan yang dapat dikongsi oleh orang lain.
Aku juga pernah terlibat menghasilkan beberapa bahan penulisan yang gah sikit laaa...misalnya BUKU KEDAH MAJU 10 TAHUN, MAJALAH MINDA DINAMIK, RAHSIA KEJAYAAN 43 USAHAWAN DAN ASAS PENYUNTINGAN VIDEO DENGAN ADOBE PREMIER PRO 2. Penulisan kecil-kecil banyak juga laa..tapi tak lah hebat sangat. Sekurang-kurangnya, ilmu yang Allah SWT bagi pada aku ni tak hilang begitu saja..aku gunakan juga sekadar kemampuan aku. Nak tulis macam pemikir yang hebat.aku tak mampu lah...

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG

Dulu aku mesti balik rumah emak kat kampung..paling tidak seminggu sekali. Anak-anak bersorak sakan kalau dapat balik rumah tok. Lebih-lebih lagi bulan puasa atau hari raya. Ni lah port kami berkumpul.


Tapi sekarang ...rumah ni dah tak ada lagi. Kayunya pun dah dibeli orang. Emak dah tak kuat lagi untuk tinggal bersendirian di rumah ini. Tapak rumah pula hak orang. Jadi..aku terpaksa merelakan rumah ini diroboh dan kayunya di jual. Itupun..kehendak emak. Kami tak ada port berkumpul lagi macam dulu...

Sekarang.. sebulan sekali atau dua kali aku akan balik juga ke kampung...menziarahi pusara ayah, anakandaku Farah Hanan, Abang Shukor dan tok. Tapi lepas ziarah kubur dan solat di Masjid Irfan..kami tak ada port persinggahan lagi...yang tinggal hanya sejuta kenangan..

SEMUSIM BERLALU SEJUTA KENANGAN

Masa kecik dulu..aku selalu ikut emak pergi sawah. Cabut menerung. Menerung ni sejenis tumbuhan yang tumbuh dalam bendang. Tapi..aku tak cabut banyak mana pun...sebab leka tahan taut ikan darat. Emak yang pulun sakan. Aku main saja. Masa tu arwah ayah tengah sakit. Tapi aku pun tak reti apa-apa lagi..tak fikir apa pun.
Ayah meninggal dunia masa umur aku 13 tahun. Emak lah yang besarkan kami 6 beradik. Ambik upah buat kuih karas, buat bendang, menjahit dan macam-macam lagi. Masa tu susah..kuih karas sebiji sekupang.
Setelah berpuluh tahun...baru aku terfikir betapa besarnya pengorbanan mak ngan ayah aku. walaupun emak dengan ayah susah, kami 6 beradik tak pernah tak makan. Besar sungguh pengorbanan emak ngan ayah. Sampai mati pun aku tak akan mampu balas jasa ke duanya. Hanya doa yang tidak pernah putus, semoga Allah SWT merahmati emak dan ayah aku selama-lamanya.
Cerita ni bukan menagih simpati, tapi untuk iktibar kita bersama. Hargailah ibubapa kita dan jangan lupa mendoakan mereka. Tanpa mereka siapalah kita...

ALLAH SWT LEBIH MENYAYANGI MU

27 Syaaban datang lagi...membawa bersama kenangan yang tidak mungkin akan dapat aku lupakan. Peristiwa yang menjadi pengajaran paling besar dalam hidup aku. Bahawa dalam hidup ini kita tidak punya apa-apa melainkan pinjaman semata-mata.
Sebesar mana pun kasih sayang aku, aku sedar Allah SWT lebih menyayanginya. Walaupun kesedihan ini tidak pernah hilang, tapi aku tetap redza dengan takdir Allah SWT. Terima kasih tuhan kerana memberi aku peluang untuk menikmati kebahagian bersama anakandaku Farah Hanan ..walaupun hanya untuk tempoh 11 tahun.
Ampuni kami Ya Allah dan pertemukan kami di akhirat sana dengan rahmat Mu. Amin

Monday, August 10, 2009

TUAH KAMI PADA 01 OGOS 2009

ALHAMDULILLAH -

Pada 01 Ogos 2009 yang lepas, aku, Wan Mahadzir, Rosdi, Rahim Omran dan Surizan telah membantu menguruskan pengendalian MCP Camera di Maahad Tahfiz Al Qur'an Lorong Alif, Jitra. Majlis ini dikenali sebagai Majlis Dastarbandi atau pun Majlis Penyampaian Syahadah untuk lulusan Tahfiz Al Qur'an dan Upacara Pemakaian Serban. Apa yang menggembirakan ialah kami dapat bersalaman dengan para ulama dari dalam dan luar negara. Antaranya ialah Allamah Syeikh Qari Muhammad Yaseen yang terkenal dengan pengajian Al Quran kaedah Panipati.

Seperkara lagi, petugas MCP Camera ini terdiri dari gabungan kerjasama KKBD, KKAP dan POLIMAS. Walaupun sumbangan ini amat kecil nilainya, kami amat berbangga kerana dapat berada di kalangan para ulama dan dapat membantu sekadar termampu.

Thursday, August 6, 2009

PUNCA KEBERKATAN REZEKI

Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :
Tidak akan putus rezeki seseorang itu selagi dia TIDAK MENINGGALKAN doa kepada
ke dua orang tuanya dalam se hari.
" Ya Allah, kasihanilah ke dua ibubapaku sebagaimana mereka mengasihaniku ketika aku masih kecil "

JANGAN KAU LUPA..

Sabda Nabi SAW :
Telah aku tinggalkan kepada kamu DUA PERKARA yang jika kamu berpegang teguh dengan ke DUA nya kamu tidak akan sesat selama-lamanya...itulah AL QUR'AN DAN SUNNAH.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempelajari, memahami dan mengamalkan intisari Al Qur'an dan Hadis. Lebih-lebih lagi..lapangkanlah masa untuk mengajari anak-anak kita ilmu Al Qur'an dan sunnah Nabi SAW...kerana kita semua akan ditanya oleh Allah SWT apakah kita telah melaksanakan amanah ini.

Wednesday, August 5, 2009

Sajak- TEMAN

Teman
Tatkala kita mula bertemu
Kau adalah kau
..dan aku adalah aku

Teman
Tatkala kita mula bermesra
kau tahu hatiku
..dan aku tahu hati mu

Teman
Tatkala kita berpisah
Kau lambai tangan mu
..dan aku lambai tanganku

Teman
Tatkala kita berjauhan
Aku mulai mengingati mu
...dan adakah kau juga begitu ?

JANGAN KAU TINGGALKAN SOLAT...

Firman Allah SWT :

Sesungguhnya sembahyang itu berat KECUALI bagi orang-orang yang tunduk hatinya kepada ALLAH..itulah orang-orang yang mengetahui bahawa mereka akan mati kemudiannya.

Biarpun..solat tidak mengambil masa yang panjang..masih ramai yang tidak memberati perintah Allah SWT ini. Pada hal, seluruh kejayaan kita di dunia dan akhirat berada di dalam solat. Malah Allah SWT menafikan sebarang janji rahmat dengan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita dan seluruh generasi kita sebagai generasi yang taat. Amin.

SENIKATA NASYID SELIMUT PUTIH

RENUNGAN
Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan nan kedinginan
Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
Jika lah ada amal di dunia
Itulah hanya pembela kita
Janganlah mahu di sanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung
Sedarlah diri tau diuntung
Sebelum masa keranda diusung
Datang masanya insaflah diri
Selimut putih membalut badan
Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman
[ -demikian hakikat kehidupan insan - ]

ANAK SIAPA TAK TAU ?

Aku seperti biasa ke sana sini dengan lensa kamera. Maklumlah, peminat setia seni dan multimedia. Ketika aku berada berhampiran kolam renang Hotel Seri Malaysia Taiping..seorang kanak-kanak yang sedang mandi di kolam tetiba berubah wajah. Ketakutan tidak terperi. Mungkin kehadiran ku secara tiba-tiba atau penampilan ku yang berjambang sambil memegang kamera menyebabkan sicomel ini ingin menyembunyikan dirinya. Perlahan-lahan dia masuk ke kolam mandi dengan air mata bergenang...dan situasi ini sempat ku rakamkan...wajah luhur seorang kanak-kanak..

H1N1 - BALA ATAU FENOMENA ALAM ?



H1N1 - sudah tidak terhitung lagi. Jika sebelumnya, hanya satu dua kes yang dilaporkan..tapi kini ianya merebak begitu pantas sehingga kepersekitaran kerja aku. Keadaan ini agak merisaukan. Apakah ini satu bala Allah SWT ?

Ada orang melenting jika ini dikatakan bala. Mereka beranggapan ini hanyalah satu fenomena biasa akibat kelahiran virus baru. Hakikatnya, bagaimana virus baru ini terlahir ? Tidakkah segalanya dalam kekuasaan Allah SWT ? ..dan kenapa Allah SWT menzahirkan virus ini ? Tidakkah kerana perbuatan tangan manusia ?

Aku tidak begitu arif untuk menukilkan firman Allah SWT yang mana berkaitan atau hadis mana yang menyokong anggapan ku ini. Cuma yang jelas, tidak ada sesuatu apa pun yang berlaku di langit dan dibumi melainkan semuanya dalam kekuasaan Allah SWT ...dan tidak bergerak sesuatu apa pun di bumi atau di langit melainkan segalanya dengan perintah Allah SWT yang Maha Agung..

TERIMA KASIH ATUK..

Terima kasih Allah kerana jadikan atuk...dan terima kasih atuk kerana lahirkan abah...Abang Teh selalu doakan kesejahteraan atuk. Abah pun selalu doakan atuk. Kami selalu doakan atuk..kerana kami ikut hadis Nabi SAW yang bermaksud :

"Tidak akan putus rezeki seseorang itu selagi dia TIDAK meninggalkan doa kepada ke dua orang tuanya dalam sehari".

ZAMAN PALING INDAH..


Anakanda Iman, Ukashah dan Amirul begitu asyik menikmati zaman kanak kanak mereka. Tanpa perlu memikirkan sebarang masalah..berkejaran ke sana sini. Bersih dari dosa dan noda. Tapi..dalam usia beginilah mereka harus dibentuk, diajar agar mereka mengenali Allah SWT dan Rasul S.A.W. Bahawa pada suatu saat, mereka akan tinggalkan zaman paling indah ini...untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai HAMBA ALLAH SWT yang taat..

Tuesday, August 4, 2009

SELAGI ADA REZEKI DI SINI...

Panggil saja aku Omar..atau abang Omar atau Pak Cik Omar atau apa saja yang sesuai. Asal panggilan itu membolehkan komunikasi dua hala antara kita. Ada orang kata.."apa ada pada nama?". Pada aku nama sangat penting dan mempengaruhi kehidupan. Syukurlah.. ibubapaku menamakan aku "OMAR". Omar yang bermaksud makmur. Syukur yang tidak pernah padam kerana Allah menganugerahi aku kehidupan yang sempurna. Lahir sebagai seorang Islam, ummat Nabi Muhammad SAW, punya pekerjaaan, rumahtangga, anak anak yang membahagiakan, rezeki ditempat sendiri, kelapangan waktu dan kesihatan yang baik.


Didunia ini aku mencari rezeki dengan bekerja di sebuah institusi. Mendidik dan berkongsi ilmu, melaksanakan arahan dalam bidang kerjaya aku sebagai "buruh multimedia". Aku tidak menemui istilah lain untuk melabel sebarang pekerjaan selain berniaga dan bertani. [ Rujuk Kitab Fadilat Tijarah ] - Selain berniaga dan bertani, profesion lain adalah termasuk kategori buruh.

;;