Sunday, September 27, 2009

BARU SEMALAM BERGURAU

Selepas solat Subuh pagi tadi...seorang rakan menghampiri aku dengan wajah yang agak sugul. Selalunya, bila kami terjumpa di mana-mana..ada saja gurauannya. Dia memang seorang rakan yang suka bergurau tetapi amat bersopan-santun dalam gurauannya. Tapi pagi ini lain...dia diam seribu bahasa.

Perlahan-lahan dia bersuara, "kelmarin saya bergurau dengan sipolan...usik mengusik.... macam-macam isi gurauan kami. Bergurau sungguh-sungguh.... tapi..tengah malam semalam saya dapat panggilan telefon...rakan saya tu..telah pergi buat selama-lamanya..dan gurauan kami adalah gurauan yang terakhir. Rasa bersalah pula...bergurau macam-macam dengan dia kelmarin.."

Saya turut terasa kesayuan yang dirasai rakan saya itu. Saya faham perasaan dia ketika itu. Saya juga pernah mengalami situasi yang sama lama dulu. Sebenarnya, itulah hakikat sebuah kehidupan..." yang hidup pasti akan mati". Cuma tak tahu bila dan di mana.

Teringat kata-kata seorang Ustaz dalam ceramahnya yang saya hadiri, "kita mati bukan kerana tua...bukan juga kerana sakit...bukan juga kerana tak makan...tapi kita mati kerana telah sampai takdir Allah SWt supaya kita mati. Justeru, bayi pun mati, kanak-kanak pun mati, ahli sukan yang cergas pun mati...kerana dunia ini bukan milik kita. Kita hanya menumpang seketika.

Hakikat inilah yang mesti kita ingat selalu. Bukan sekadar ingat...tapi di susuli dengan iman dan amal. Bila-bila masa saja...kematian boleh datang menjemput kita. Bersedia atau tidak...kita tidak ada pilihan lagi bila telah sampai masa. Justeru, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketaatan terhadap Allah SWT dan sentiasa mengingati saat kematian kita. Dunia ini hanya persinggahan...bukannya destinasi...
Wallahua'lam

1 Comment:

  1. Tautan kasih said...
    Dunia ini hanyalah pinjaman untuk menguji keimanan..

    Manusia ini ibarat sang musafir...
    Dunia ini sebagai tempat persinggahan...
    destinasinya hanyalah AKHIRAT nanti...
    Bekalan apa yang diperoleh daripada persinggahan didunia ini...?

Post a Comment